KUALA LUMPUR – Seorang pramugara berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja penyelenggaraan dan mencederakan seorang lagi.
Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta Ford Focus Sport dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter, melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram bagi setiap 100 mililiter.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen pada jam 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Zakiyamani Zakaria @ Yusuff, 49, di lokasi dan waktu yang sama.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 44(1A)(b) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan serta memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Anif Rafih memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 bagi setiap pertuduhan. Beliau tidak membantah penggantungan lesen memandu, namun membantah permohonan penyerahan pasport kerana dokumen itu diperlukan anak guamnya untuk menjalankan tugas sebagai pramugara.
Pihak pembelaan turut memaklumkan bahawa tertuduh menanggung keluarganya, termasuk bapanya yang mempunyai masalah jantung dan memerlukan rawatan susulan di hospital.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Lesen memandunya turut digantung sehingga kes selesai, manakala tertuduh diarahkan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, kejadian pada 24 Oktober lalu mengakibatkan seorang penyelia penyelenggaraan maut selepas dirempuh kereta terbabit, manakala seorang lagi pekerja mengalami kecederaan.


Leave a Reply