PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan seorang lelaki berasal dari Bangladesh yang menjadi perhatian di media sosial telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia menerusi proses naturalisasi pada 2025.

JPN dalam kenyataannya memaklumkan, semakan rekod rasmi mendapati kelulusan itu diberikan mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan serta memenuhi prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Lelaki berkenaan juga merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap (PR) sejak 2009.

Bagi kes berasingan yang turut tular, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap seorang wanita yang didakwa berasal dari Pakistan susulan aduan yang diterima.

Menurut jabatan itu, penelitian sedang dilakukan berdasarkan rekod rasmi serta fakta berkaitan sebelum sebarang maklumat lanjut diumumkan mengikut perkembangan siasatan.

JPN turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau keraguan mengenai status kewarganegaraan seseorang supaya mengemukakan aduan menerusi saluran rasmi bagi membolehkan semakan sewajarnya dijalankan.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial.

Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan semua urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan dengan teliti, berintegriti serta mematuhi undang-undang.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.