PUCHONG – Sebuah kilang pemprosesan ayam di Puchong yang diserbu pihak berkuasa kerana disyaki menggunakan kaedah penyembelihan tidak menepati syarat halal dipercayai mampu memproses sehingga 40,000 ekor ayam setiap hari.
Memetik laporan BH Online, Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata produk ayam mentah dari premis itu dibekalkan kepada kedai makan, pasar raya dan peruncit sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, hasil risikan dan pemantauan mendapati proses penyembelihan serta pengendalian ayam di kilang berkenaan tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan bagi memastikan status halal produk.
Antara kawasan yang menerima bekalan berkenaan termasuk Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Puchong, Cheras dan Bangi.
Pemeriksaan awal turut menemukan penggunaan kaedah kejutan elektrik yang dipercayai menyebabkan ayam mati sebelum disembelih oleh pekerja asing di premis itu.
Muhammad berkata, keadaan tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap pematuhan hukum syarak kerana haiwan perlu berada dalam keadaan yang memenuhi syarat sebelum proses penyembelihan dilakukan.
Beliau turut memaklumkan semua pekerja yang berada di kilang berkenaan dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak mempunyai sijil perakuan untuk menjalankan kerja penyembelihan.
Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa merampas lebih 6.5 tan ayam mentah dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong pada tengah malam kelmarin.
Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan menerusi Ops Taring Chiller.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) KDNKA, Datuk Mohd Zaki Ashar, dilaporkan berkata serbuan pada jam 12.40 tengah malam itu mendapati gudang terbabit dipercayai digunakan untuk menyembelih, memproses dan mengedarkan ayam segar tanpa sijil halal yang sah.
Operasi bersepadu itu turut membabitkan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Kesihatan Petaling.
Keseluruhan rampasan membabitkan 468 bungkusan plastik berisi ayam mentah dengan anggaran berat 6.5 tan dan nilai kira-kira RM85,400.


Leave a Reply