MEXICO CITY – Kimi Antonelli mencipta sejarah dalam arena Formula Satu (F1) apabila muncul juara dunia termuda selepas menamatkan Grand Prix (GP) Mexico City di tempat ketiga di Autodromo Hermanos Rodriguez, semalam.Kejayaan itu menyaksikan pemandu Mercedes berkenaan merangkul gelaran dunia pada usia 20 tahun 68 hari, sekali gus memadam rekod terdahulu yang dipegang Sebastian Vettel dengan perbezaan lebih tiga tahun.
Lebih bermakna, kejayaan Antonelli turut menamatkan penantian panjang Itali selama 73 tahun untuk kembali memiliki juara dunia F1, selepas Alberto Ascari kali terakhir melakukannya bersama Ferrari pada 1953.
Antonelli menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik paling bermakna dalam kariernya dan mengakui masih sukar mempercayai pencapaian yang diraih bersama pasukan Mercedes.
“Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini dan ia sesuatu yang akan saya kenang sepanjang hayat. Saya benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku dan masih cuba memahami pencapaian ini.“Kami berjaya melakukannya untuk bergelar juara. Tanpa Mercedes dan keluarga saya, semua ini tidak mungkin tercapai,” katanya.
Pelumba itu turut menyifatkan peluang berkongsi podium bersama Max Verstappen dan Lewis Hamilton sebagai pengalaman istimewa, selain tidak sabar untuk kembali bersaing dengan kedua-duanya pada masa akan datang.
Mengulas tekanan sepanjang minggu perlumbaan, Antonelli mengakui berdepan cabaran lebih besar berbanding kebiasaan, namun lega apabila misi kejuaraan berjaya diselesaikan.
“Hujung minggu ini saya berasa sedikit lebih tertekan, tetapi saya sangat gembira kerana akhirnya kami berjaya melakukannya. Kini, kami boleh menikmati baki musim ini,” katanya.
Dalam perlumbaan tersebut, Verstappen yang mewakili Red Bull muncul pemenang selepas menewaskan Hamilton dengan kelebihan 0.799 saat, manakala Antonelli menamatkan saingan 3.207 saat di belakang pemenang.– AGENSI


Leave a Reply