KUALA LUMPUR – Pertelingkahan berpanjangan antara bekas aktivis DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai Superman Hew dengan penganalisis politik, Ang Wee Shan berakhir di gelanggang tinju apabila kedua-duanya bersemuka dalam satu perlawanan baru-baru ini.
Wee Shan, 40, berjaya mengatasi Kuan Yau, 57, menerusi keputusan mutlak dalam pertarungan yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Rakaman perlawanan selama kira-kira dua minit 40 saat yang tersebar di media sosial memperlihatkan Wee Shan mengambil pendekatan agresif sejak awal, menyebabkan lawannya beberapa kali terjatuh.
Menurut laporan portal MySinchew, pertarungan yang dirancang berlangsung selama tiga pusingan itu dihentikan lebih awal selepas Kuan Yau didapati tidak mampu meneruskan perlawanan.
Perselisihan antara kedua-duanya dipercayai bermula ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Julai lalu.
Ketegangan tercetus selepas Wee Shan mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk berdebat ketika beliau berkempen bagi calon MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Kuan Yau kemudian memperlekehkan cabaran tersebut sebagai usaha meraih publisiti sebelum mengajak Wee Shan menyelesaikan pertikaian melalui pertarungan tinju. Cabaran itu akhirnya disambut.
Untuk rekod, Kuan Yau meninggalkan DAP pada Julai 2016 susulan beberapa kenyataan kontroversi yang pernah mencetuskan kritikan, termasuk dakwaan berunsur perkauman.


Leave a Reply