KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menggunakan pinjaman baharu semata-mata untuk menampung perbelanjaan rutin negara, sebaliknya pembiayaan berkenaan turut disalurkan bagi melaksanakan projek pembangunan serta memenuhi komitmen kewangan terdahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertambahan jumlah hutang negara perlu dilihat dalam konteks kedudukan belanjawan yang masih mengalami defisit, selain mengambil kira sifat hutang yang terkumpul dari tahun ke tahun, lapor Bernama.
Menurut beliau, pinjaman bersih yang dibuat dalam sesuatu tahun akan menambah baki hutang terdahulu yang masih belum diselesaikan.
Katanya, pentadbiran Kerajaan MADANI mengambil alih negara ketika jumlah hutang sudah melebihi RM1 trilion, susulan peningkatan ketara pinjaman antara 2020 hingga 2022 bagi menangani kesan pandemik COVID-19.
“Pinjaman baharu di bawah Kerajaan MADANI adalah untuk membiayai pembangunan negara termasuk sekolah, hospital, jalan raya serta bekalan air dan elektrik.
“Pada masa sama, kita juga perlu menyelesaikan tanggungan kewangan yang diwarisi. Pada 2023 sahaja, RM13 bilion diperlukan untuk melunaskan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan itu berkaitan kegagalan mengurangkan hutang negara ke paras lebih mampan serta kemampuan fiskal kerajaan untuk melaksanakan langkah intervensi bagi melindungi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menolak tanggapan bahawa nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pentadbiran terdahulu yang lebih rendah membuktikan kedudukan kewangan negara ketika itu lebih baik.
Jelasnya, penilaian sedemikian tidak mengambil kira keseluruhan komitmen kewangan kerajaan, termasuk tanggungan luar kunci kira-kira (off balance sheet) seperti jaminan kerajaan dan projek kerjasama awam swasta sebelum 2018.
Menurut beliau, komitmen berkenaan tetap memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara meskipun tidak direkodkan sebagai hutang langsung.
Berdasarkan angka yang dikemukakan, nisbah hutang kepada KDNK direkodkan sebanyak 65.2 peratus pada 2025, dengan unjuran masing-masing 64 peratus pada 2026 dan 63.7 peratus pada 2027, sebelum mencapai sasaran 60 peratus di bawah Kerangka Fiskal dan Anggaran Hasil (FRA).
“Angka hutang langsung sekitar 50 peratus kepada KDNK ketika itu tidak menggambarkan keseluruhan tanggungan kewangan negara.
“Selepas mengambil kira hutang dan liabiliti, kedudukannya adalah 80.3 peratus pada akhir 2017, berbanding 80.9 peratus pada akhir 2022 dan 80.7 peratus pada Jun lalu,” katanya.
Anwar berkata, pengurusan kewangan negara bukan sekadar memberi tumpuan kepada pengurangan defisit dan pengukuhan kedudukan fiskal, malah perlu memastikan perbelanjaan kerajaan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
Beliau turut menjelaskan langkah penyasaran subsidi membolehkan kerajaan melindungi rakyat daripada kesan perubahan harga minyak dunia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Selain itu, peningkatan perbelanjaan negara turut disokong pembiayaan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), meskipun kerajaan berdepan kekurangan hasil.
Antara komponen yang menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan ialah pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM16 bilion.
Perbelanjaan turut melibatkan tambahan RM18 bilion bagi pelarasan gaji penjawat awam serta lebih RM40 bilion untuk subsidi bahan api.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengurangkan kadar cukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Belanjawan negara.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan dakwaan bahawa pertambahan hutang semata-mata membuktikan kelemahan pengurusan kewangan kerajaan adalah tidak tepat kerana penilaian perlu mengambil kira keseluruhan tanggungan, perbelanjaan pembangunan dan komitmen fiskal negara.


Leave a Reply