KUALA LUMPUR – Insiden serangan terhadap anggota polis di Gombak menjadi peringatan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak berkompromi dalam aspek keselamatan ketika menjalankan penugasan di lapangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengarahkan semua pegawai dan anggota di bawah kontinjen itu supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ancaman yang boleh membahayakan nyawa.

Arahan berkenaan disampaikan menerusi rakaman suara yang ditujukan kepada seluruh warga kerja Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam amanat itu, beliau mengingatkan anggota yang bertugas di barisan hadapan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB), detektif dan kereta peronda (MPV), agar sentiasa berwaspada serta tidak memandang ringan sebarang petunjuk ancaman.

Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan prosedur keselamatan dan latihan penggunaan senjata api supaya setiap anggota mampu bertindak mengikut keadaan sekiranya berdepan situasi berbahaya.

Fadil dalam rakaman itu turut mengingatkan anggota supaya tidak teragak-agak mengambil langkah mempertahankan diri apabila berhadapan ancaman serius.

Arahan tegas itu dipercayai susulan kejadian di Desa Aman Puri, Gombak, Rabu lalu, apabila seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas diserang menggunakan parang oleh seorang lelaki warga asing.

Serangan berkenaan mengakibatkan pergelangan tangan kanan anggota itu terputus, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan yang dihadapi petugas penguat kuasa ketika berurusan dengan individu agresif.

Susulan perkembangan itu, Fadil turut meminta pegawai yang bertugas di Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) memastikan pesanan berkenaan disebarkan kepada semua bahagian serta unit operasi.

Langkah itu bertujuan memastikan setiap anggota memahami arahan ditetapkan dan meningkatkan kewaspadaan sepanjang menjalankan tanggungjawab demi keselamatan diri serta rakan setugas.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.