KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun mengenali hati budi masing-masing, pelakon merangkap Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, bakal menamatkan zaman bujang dengan bekas Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong, pada Jun tahun depan.

Berita gembira itu dikongsikan Hans yang mendedahkan mereka sebenarnya sudah mengikat tali pertunangan beberapa minggu lalu ketika berada di Perancis.

Menurutnya, kunjungan ke negara berkenaan pada awalnya adalah atas urusan kerja sebelum beliau mengambil kesempatan untuk melamar Francisca tanpa pengetahuan wanita itu.

Hans berkata, majlis perkahwinan mereka dirancang berlangsung pada pertengahan tahun depan dengan dua acara bakal diadakan di Kuala Lumpur dan Kuching bagi meraikan keluarga kedua-dua belah pihak.

Katanya, beberapa urusan berkaitan agama dan persediaan perkahwinan masih perlu diselesaikan, termasuk menghadiri kursus yang ditetapkan.

Mengulas hubungan mereka, Hans berkata, beliau tertarik dengan keperibadian Francisca yang mudah mesra serta bijak menyesuaikan diri ketika bersama keluarga dan rakan-rakannya.

Beliau turut mengakui hubungan mereka berkembang secara semula jadi selepas tujuh tahun berkawan sebelum mengambil keputusan untuk melangkah ke fasa lebih serius.

Hans menyifatkan keupayaan Francisca membina hubungan baik dengan keluarganya sebagai antara perkara penting dalam memilih pasangan hidup.

Beliau berkongsi berita tersebut ketika ditemui selepas program Meletop di Astro Bukit Jalil, malam tadi.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.