KUALA LUMPUR- Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis berhubung artikel majalah The Economist yang mendakwa kononnya wujud unsur manipulasi dalam sistem pilihan raya di negara ini.
NGO itu juga mendakwa terdapat campur tangan asing bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Pengerusi GAUM Datuk Zulkarnain Mahdar berkata laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu yang dikatakan melibatkan pemimpin pembangkang.
Katanya laporan polis itu dibuat bukan sahaja setelah pihaknya memperoleh maklumat mengenai campur tangan asing malah modus operandi yang menggunakan media asing untuk mengeluarkan berita fitnah terhadap kerajaan.
Laporan berkenaan dibuat Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar di Balai Polis Sri Petaling di sini.
“Sistem pilihan raya di negara ini sangat sistematik, sebagai contoh penggunaan dakwat kekal dicalit di jari pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan tidak wujud ruang penipuan.
“Sistem sama juga akan digunakan pada PRU-14, bertujuan mengelak kemungkinan ada percubaan oleh mana-mana pengundi tidak bertanggungjawab untuk mengundi lebih daripada sekali di tempat mengundi berlainan.
“Di situ kita sudah nampak tuduhan kononnya kerajaan manipulasi sistem pilihan raya sebenarnya adalah taktik kotor pihak tertentu.’ katanya.
Pada 13 Mac lepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan ada manipulasi terhadap sistem pilihan raya dan persempadanan semula kawasan pilihan raya bertujuan memenangkan parti-parti tertentu pada PRU14.