Kuala Lumpur – Golongan pesara kerajaan, lebih-lebih lagi kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diseru untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau juga menyeru pesara agensi tersebut memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman selama lebih tiga dekad itu untuk kebaikan masyarakat dan negara.
Menurutnya, walaupun berstatus pesara, bekas kakitangan LPP masih merupakan aset masyarakat dan negara dalam menstrasnformasikan pertanian negara.
“Kalau sudah bersara tidak semestinya segalanya tamat. Jangan lupa bahawa anda masih memikul tanggungajawab besar untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat umum.
“Kita tidak mahu ada segelintir pesara yang telah mendapat begitu banyak manfaat daripada kerajaan namun bersikap tidak mengenang budi dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan yang diketuai DAP”.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan (Sesi 1) anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang berlangsung di Sunway Putra Hotel, di sini pada Selasa.
Dalam majlis itu, seramai 223 anggota LPP menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tahun 2018.