KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tiba-tiba ‘meletup’ ketika bertanyakan soalan mengenai program Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang diberikan laluan untuk mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Devamany dengan lantang mengkritik tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertindak bertentangan dengan program TN50.

Dakwa Mahfuz dalam satu majlis diadakan baru-baru ini, Mohamad dan Khairy cuba menghasut belia dengan terbalikkan meja di sebuah kedai kopi.

“Ini menunjukan TN50 tidak lebih pembohongan kepada masyarakat dan rakyat, ” katanya.

Kenyataan itu membangkitkan kemarahan beberapa penyokong kerajaan yang meminta Mahfuz duduk kerana membuat dakwaan tidak benar.

Antara yang mencelah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang meminta beliau mengemukakan soalan bukannya buat tuduhan tidak berasas.

Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) meminta Mahfuz duduk kerana tidak mengemukakan soalan.

“Pokok Sena (Mahfuz) suka lompat-lompat. Otak dia celaru, tiga kali lompat. Tiada soalan pun,” katanya.

Turut mencelah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang menyatakan Mahfuz merapu sebenarnya, kerana cemburu kejayaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ismail Mohamad yang cuba meredakan kekecohan berkata, beliau memberi peluang kepada Pokok Sena (Mahfuz) bertanyakan soalan selepas bertukar parti daripada PAS ke Bebas sebelum Parti Amanah Negara

“Saya ingat selepas ke AMANAH Yang Berhormat menjadi lebih beramanah,” katanya.

Sumber: Berita Harian