KUALA LUMPUR – Ketua Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini membuat laporan polis terhadap BERSIH yang akan mengadakan himpunan di hadapan bangunan parlimen esok.
Jamal juga mendakwa BERSIH mahu menghalang Perdana Menteri dan anggota parlimen BN lain bagi pembentangan laporan cadangan persempadanan semula di Dewan Rakyat esok.
“Mereka mahu buat kacau bilau dan ganggu keharmonian, paling membimbangkan, cuba menyekat perjalanan Perdana Menteri dan anggota parlimen BN lain untuk ke Dewan Rakyat.
“Pembangkang mempunyai wakil di Dewan Rakyat diketuai Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Kami sebagai rakyat Malaysia harap pembangkang gunakan platform di parlimen untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.
“Ia lebih baik daripada demonstrasi jalanan dan menghasut rakyat membenci kerajaan,” katanya.
BERSIH sebelum ini berkata akan menyerahkan memorandum bantahan cadangan persempadanan semula kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mula dan menggesa orang ramai menyertai mereka.