KOTA KINABALU – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) menggesa maklum balas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perkembangan terkini siasatan terhadap pembelian tanah bernilai RM155 juta di daerah Tongod.

Presidennya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, rakyat Sabah dan seluruh negara khususnya berhak untuk mengetahui status terkini siasatan tersebut yang turut melibatkan individu berkepentingan dalam Parti Warisan Sabah (Warisan).

Zulkarnain berkata, siasatan penyelewengan pembelian tanah yang melibatkan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony dan seorang peguam rakyat tempatan, Michael Ubu terlalu perlahan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

Zulkarnain berkata, siasatan penyelewengan pembelian tanah yang melibatkan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony dan seorang peguam rakyat tempatan, Michael Ubu terlalu perlahan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat.

“Tanah ini adalah hak milik rakyat dan ia mempunyai kaitan dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Umum mengetahui sebelum ini Peter telah ditahan reman untuk diambil keterangan, bagaimanapun, Michael yang turut terbabit dalam urusan jual beli tanah ini tidak muncul sehingga ke hari ini. Kita tidak tahu apa status Michael dan rakyat Malaysia perlu tahu perkara sebenar kerana ini kes berprofil tinggi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada wakil SPRM Sabah di pejabat SPRM, Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah di sini.

Menurut Zulkarnain, perlu wujudnya usaha sama antara SPRM dan agensi kerajaan berkaitan terutamanya pasukan polis yang mampu mengesan kedudukan Michael untuk tampil segera memberikan keterangan. – K! ONLINE