KUALA LUMPUR – NGO Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini tampil membuat laporan polis berhubung tulisan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laman blognya, Chedet.com yang disifatkan sebagai suatu tuduhan palsu dan tidak benar.
Menurut Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, tindakan bekas Perdana Menteri itu yang menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 9 Mei 2018 sebagai tarikh Pilihanraya merupakan satu tindakan yang tidak wajar.
Dakwaan Tun Mahathir yang menyatakan bahawa hari pembuangan undi yang ditetapkan SPR pada hari Rabu adalah sebagai cubaan untuk mengurangkan jumlah undi rakyat terhadap pembangkang adalah tidak benar memandangkan seluruh rakyat bakal termasuk penyokong kerajaan juga akan terjejas.
“Bukan sahaja pembangkang sahaja, bahkan ahli – ahli BN dan UMNO juga turut terjejas. Jadi, atas alasan apa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempengaruhi keputusan SPR?
”Setiap kali Pilihanraya, mereka nak jadikan SPR sebagai kambing hitam. Saya nampak ini permainan yang jijik. Semua nak salahkan Najib, semua nak salahkan kerajaan,” katanya dalam satu sidang media di Balai Polis Sri Petaling, Brickfields di sini hari ini.
Jelas beliau, tiada sebarang bukti kukuh yang menyatakan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam keputusan pemilihan tarikh tersebut bagi pembuangan undi sebaliknya hanya bersandarkan kepada tuduhan palsu semata-mata.