KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini tampil membuat laporan polis terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Laporan polis itu dibuat berhubung dengan insiden kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit kira-kira 30 tahun lalu.
Jamal mendakwa, Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri telah menggunakan insiden tersebut untuk mengaibkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail.
“Prebet Adam telah digunakan oleh Tun Mahathir untuk mengaibkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail sebelum ini.
“Jadi apa yang Tun Mahathir telah lakukan kepada rakyat Malaysia dengan menggunakan media ketika itu yang beliau kawal sepenuhnya, melaporkan bahawa Prebet Adam ini mengamuk di Chow Kit kerana Almarhum Sultan Johor ketika itu memukul adik kepada Prebet Adam sehingga meninggal dunia.
“Jadi dakwaan tersebut menyebabkan hampir seluruh rakyat di dalam negara ini percaya. Kita melihat bagaimana Tun Mahathir memfitnah Almarhum Sultan Johor sehingga saya yang masih kecil ketika itu percaya.
“Sedangkan hakikatnya telahpun didedahkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri bahawa apa yang berlaku ketika itu adalah satu fitnah dan bohong semata-mata,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Sehubungan itu, Jamal menggesa pihak berkuasa supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap Mahathir yang disifatkan sebagai tidak boleh dipercayai dan pemfitnah itu.