LANGKAWI – Teka-teki di mana Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 akhirnya terjawab.
Pencalonan beliau diumumkan oleh Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di satu ceramah di Langkawi malam tadi.
“Orang Langkawi sedar, Tun Dr Mahathir adalah penjana kepada pulau yang dahulunya pernah lesu.
“Atas jasanya sebagai bapa pembangunan Langkawi, beliau akan terus berjasa untuk selamatkan Malaysia,” kata Wan Azizah semasa mengumumkan calon Pakatan Harapan untuk kerusi P004 itu.
“Dengan bangga, dengan doa kemenangan berpihak kepada kami, saya umumkan Dr Mahathir sebagai calon Langkawi,” katanya kepada kira-kira 5,000 hadirin ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di pulau itu.
Pengumuman itu menamatkan semua spekulasi tentang kerusi pilihan Tun Mahathir.
Mahathir sebelum ini mempertimbangkan antara Langkawi, Putrajaya dan Kubang Pasu, di mana beliau menjadi wakil rakyat di situ selama lebih 3 dekad, termasuk ketika menerajui kerajaan selama 22 tahun.