HUTAN MELINTANG – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak perlu tunduk atau layan ugutan dari parti komponen kerana ada parti komponen yang melakukan perkara sedemikian tapi tidak melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan iaitu mempertahankan kerajaan dan pemimpin.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepanjang tempoh sepenggal selepas PRU13, Najib dikecam dan dikritik hebat oleh pakatan pembangkang dengan pelbagai isu yang tidak berasas dan tidak ada bukti.
Beliau berkata Najib yang juga Perdana Menteri kelihatan seakan berseorangan untuk menjelaskan kepada rakyat tentang dakwaan yang dibuat dalam isu yang dimanipulasikan pembangkang terutamanya dalam hal syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB.
“PM tidak perlu layan atau tunduk kepada ugutan komponen, selepas PRU13 ada yang tidak buat kerja.
“Apabila soal jawatan mahu, peruntukan pun mereka mahu, tapi kerja tidak mahu buat.
“Saya ingin bertanya di mana hero-hero dalam parti komponen sewaktu kerajaan dan Datuk Seri Najib diasak habis-habisan oleh pembangkang, melalui Sarawak Report dan media asing,” kata Ramesh.
Kata beliau, pemimpin dalam parti komponen BN ada yang ambil jalan selamat bimbang kedudukan akan tergugat jika pertahankan parti dan pemimpin.
Ketika diserang portal pro-pembangkang, media asing dan pemimpin PH, mereka yang bertungkus-lumus mempertahankan Najib ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Ramesh berkata, tindakan parti komponen mempertahankan Najib begitu suram. Sepatutnya mereka boleh mengeluarkan kenyataan daripada parti sendiri untuk mempertahankan pucuk pimpinan tapi ia tidak berlaku dan pembangkang mengambil kesempatan di atas perkara itu.
“Semua play safe!!, mana pemimpin parti-parti komponen lain dalam BN?” kata Ramesh
Ramesh berkata, ada pihak ketika ini dalam BN sedang berebut kerusi dan cuba mengugut Najib termasuk untuk meninggalkan parti jika kehendak mereka dari soal kerusi tidak dipenuhi.
Beliau berkata, pemimpin parti komponen perlu ambil iktibar bahawa perbuatan merebut jawatan, kerusi dan peruntukan tidak akan membawa keuntungan kepada BN sebaliknya hanya akan membawa kerugian yang besar, kepada parti dan pengundi.
“Krisis dalaman untuk merebut sesuatu dalam parti seperti ini hanya akan membawa masalah kepada BN. Pembangkang mahu lihat kita berpecah terus bergolak.
“Semua parti komponen perlu bersama-sama benar-benar menyokong parti dan pemimpin supaya BN akan berjaya berdepan dengan PRU14 nanti dan jangan terpengaruh dengan hasutan pembangkang,” katanya.
Ramesh berkata, lebih baik semua pemimpin menjalankan tugas demi rakyat dan melaksanakan amanah dengan baik serta mengetepikan cita-cita politik demi negara.
“Kemenangan parti adalah kemenangan untuk kita dan rakyat, kekalahan pula akan bawa kehancuran,” kata Ramesh.