HUTAN MELINTANG – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao mengucapkan tahniah kepada Datuk Khairuddin Tarmizi dari UMNO yang dipilih sebagai calon kerusi DUN Hutan Melintang untuk bertanding pada PRU14 kali ini untuk Barisan Nasional (BN).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata beliau akan terus komited dan berjanji untuk memastikan kaum India di kawasan DUN berkenaan akan mengundi calon pilihan BN bagi merampas kerusi berkenaan daripada PKR yang telah menguasainya selama dua penggal.

Ramesh berkata, walaupun nama beliau tidak dicalonkan, beliau langsung tidak berasa kecil hati.

“Saya tidak akan menjadi bangsat seperti orang lain yang mengugut hendak bertanding sebagai calon bebas, jiwa dan ragaku, kekal setia bersama #NajibRazak #ZahidHamidi #BarisanNasional,” katanya.

Beliau yang merupakan anak jati di Hutan Melintang berjanji akan meneruskan program untuk rakyat yang sudah dilaksanakan sebelum ini untuk memastikan momentum sokongan rakyat kepada BN tidak akan luput menjelang hari mengundi pada 9 Mei nanti.

Ramesh berkata dari pada awal beliau tidak memasang hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan tetapi bersungguh-sungguh mahu BN merampas kerusi berkenaan dari PKR kerana wakil PKR jelas tidak membantu penduduk di kawasan tempat asal beliau itu.

“Saya dari awal tidak melobi untuk jadi calon tetapi hanya tampil untuk beri bantuan kepada rakyat dan kemudahan kepada pengundi memandangkan sudah dua penggal mereka dipinggirkan oleh wakil rakyat dari PKR.

Beliau menyokong keputusan pucuk pimpinan UMNO untuk memilih Khairuddin dan yakin calon BN itu akan bawa perubahan kepada Hutan Melintang di bawah wakil rakyat BN.

Di laman Facebooknya, Ramesh berkata misinya sekarang dan tetap sama ialah untuk membawa kemenangan kepada BN untuk kawasan DUN berkenaan.

“Sekarang misi saya untuk menangkan calon-calon BN, tidak timbul isu merajuk atau kecil hati.

“Ramesh Rao anak jantan bukan bacul, lawan tetap lawan,” katanya.

Nama Khairuddin diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi itu bersama dengan calon DUN Rungkup iaitu Datuk Shahrul Zaman Yahya juga dari UMNO. Dua kerusi DUN berkenaan berada di bawah kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.