SEMPORNA – Sambutan Jubli Perak Regatta Lepa ke-25 baru sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad manakala Anugerah Lepa Unggul juga sudah diumumkan pemenangnya.

Lepa Abisa milik Haji Biskai Mastal merupakan juara bertahan dan telah pun disebut-sebut oleh pengunjung kerana mempunyai hiasan yang menarik dan menjadi tumpuan pengunjung di Dataran Lepa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Datuk Hajan Gurimbang berkata walaupun penganjuran jubli perak tahun ini beberapa kali ditangguhkan namun beliau tetap menguatkan semangat untuk meneruskan acara ini.

“Sebagai anak watan daerah Semporna yang perlu mengangkat budaya bangsa untuk mendepani cabaran pastinya budaya Regatta Lepa ini akan diteruskan.

“Justeru Persatuan Kesenian Bajau Semporna bertanggungjawab untuk menjayakan prohram ini malah kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan juga turut membantu bagi menjayakan program ini.

“Kita juga menggabungkan Pesta Igal Antarabangsa di mana para peserta dari luar negara seperti Filipina dan Indonesia turut serta selama tiga hari untuk membuat persembahan,”jelas Hajan.

Beliau juga turut mengekalkan acara sukan laut seperti acara berenang, lumba perahu dan selam lama antara acara wajib setiap kali penganjuran Regatta Lepa.

“Sukan laut adalah merupakan kehidupan masyarakat disini, kerana lepa inilah tempat mereka menjalani kehidupan sebagai nelayan.

“Justeru sukan laut ini memang harus kita tekankan sebab ini menjadi adat dan budaya bagi suku kaum Bajau daerah semporna.

“Sambutan tahun ini juga agak berlainan sebab kita mengangkatnya sebagai pesta Regatta Lepa Antarabangsa apatah lagi setelah pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa di sini, maka Regatta Lepa antara pengisiannya.

“Harapan saya pada masa akan datang kerajaan akan terus membantu program ini sebab dengan adanya program ini pelancong-pelancong dari luar negara akan datang untuk menyaksikan sendiri bagaimana keunikan Semporna.

“Sambulayang itu melambangkan perayaan, Lepa itu melambangkan perjalanan ke satu tempat yang kita tuju disamping mencari kehidupan manakala budaya itu adalah lambang perpaduan bangsa Bajau Semporna,”ujarnya. -Malaysiaaktif