KUALA LUMPUR – Dua calon PKR yang ditolak pencalonan mereka pada PRU14 kali ini dikenalpasti akan menggerakkan hasutan untuk kaum India supaya marah dan benci kepada Barisan Nasional (BN) dengan menuduh kerajaan zalim.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata dua calon berkenaan difahamkan sengaja digagalkan pencalonan mereka dan ia adalah rancangan rapi dari PKR sendiri.
“Sebagai calon, takkan parti mereka tidak berikan taklimat apa keperluan penting yang perlu dibawa dan perlu dilakukan untuk jadi calon pada pilihan raya umum. Ini satu kesilapan yang tidak logik kerana PKR adalah parti yang memerintah sebuah negeri iaitu Selangor, takkan perkara mudah sebegini boleh terlupa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ada bukti ia adalah satu rancangan PKR apabila bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli begitu pantas melancarkan tuduhdan dan fitnah ke atas ADUN Rantau dari BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang tanpa bertanding kerana calon PKR tidak dibenarkan menyerahkan borang pencalonan.
Calon itu, Dr S Streram dihalang dari masuk ke dalam dewan kerana tidak memakai pas calon yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Rafizi dalam Twitternya turut menuduh polis dan Mohamad Hasan berpakat untuk menghalang Streram.
“Itu adalah salah PKR sendiri, takkan Rafizi tidak nampak perkara ini, Mengapa Rafizi mahu salahkan Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga salahkan polis, dan tuduh BN bacul serta zalim.
“Ini sebenarnya sudah dirancang untuk kaum India benci kepada BN,” kata Ramesh.
Ramesh berkata begitu juga halnya dengan calon PKR, kerusi DUN Bukit Melawati, Sivamalar Genapathy yang bertukar saat akhir kerana alamat di Mykadnya tertera di luar negeri Selangor.
Pengurus Pilihan Raya, Railah Rahmat berkata pihak SPR terpaksa menolak pencalonan Sivamalar kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Ini bukti ia dirancang kerana PKR sempat pula menukar calon kepada Juwairiya Zulkifli dengan faks watikah perlantikan yang sempat diterima sebelum pukul 10 pagi tadi.
“Jika Sivamalar yang dipilih, mengapa watikah untuk Juwairiya sudah tersedia dan sempat disediakan, semua orang boleh nampak dan faham permainan politik PKR ini,” kata Ramesh.
Ramesh berkata, kaum India sudah lama tertindas di negeri itu kerana banyak perkara melibatkan mereka diabaikan. Antara perkara paling teruk diabaikan oleh kerajaan pakatan di Selangor ialah kebajikan bangunan kuil yang ada diantaranya sampai tahap dirobohkan.
“Pendidikan anak-anak kaum India di SJKT juga sudah lama terabai, jadi ahli politik ini digunakan untuk ambil kesempatan dan hasut rakyat benci kerajaan BN dengan menuduh BN zalim kepada kaum India.
“Pengundi kena sedar, sebenarnya PKR dan Pakatan yang zalim kepada kaum India selama ini,” katanya.