KUALA LUMPUR – MyPPP masih sebahagian daripada Barisan Nasional (BN), kata Naib Presidennya, Datuk Seri Maglin D’Cruz.

Maglin menegaskan bahawa pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri M Kayveas tidak sah kerana dia tidak mempunyai kuasa bercakap bagi parti, dan juga telah dipecat dari MyPPP.

“Tindakan Kayveas dan pengikutnya megelirukan ahli MyPPP serta parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Ramai ahli MyPPP tak puas hati dengan kenyataan itu. Dahulu kita pernah buat keputusan untuk bersama BN, jadi kini kita masih dalam BN,” katanya.

Pendirian itu juga mendapat sokongan Pengerusi MyPPP Pulau Pinang, Datuk Loga Bala Mohan.

“17 April yang lepas kita telah mengadakan satu mesyuarat majlis tertinggi dan kita telah buat satu keputusan untuk bersama dengan BN.

“Keputusan itu yang diputuskan oleh majlis tertinggi tidak sama sekali akan ditukar jadi maksudnya keputusan pada 17 April lepas masih kekal”, kata Loga.

Pada Sabtu lepas Kayveas mengumumkan MyPPP keluar daripada BN selepas mendakwa dia menerima maklumat daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa dia masih merupakan presiden.