KUALA LUMPUR – Susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, ia merupakan satu sejarah hitam bagi UMNO kerana telah tewas pada pilihanraya umum sekaligus hilang tampuk pimpinan meneraju negara.
Sehubungan itu, Exco Pemuda Bukit Bintang Zhafirin Mat Yusof mengajak ahli UMNO khususnya dari sayap pemuda untuk bermuhasabah terhadap keputusan tersebut dan perlu ikhlas serta sanggup berjuang demi parti untuk bangkit semula selepas kekalahan.
Bagi mengembalikan roh perjuangan UMNO, pemuda perlu menjadi pihak yang selalu konservatif dan melihat kesempatan di setiap kegagalan.
Jatidiri serta semangat yang kuat untuk bersatu teguh demi kejayaan yang akan datang, serta sematkan dalam hati bahawa kemampuan tidak ada ertinya tanpa kesempatan atas sesuatu yang diusahakan.
“Kita seharusnya belajar daripada kesilapan dengan meneliti ketelanjuran dan kembali lah ke pangkal jalan berusaha melakukan pembetulan”
“Oleh itu bersatulah dalam satu semangat roh perjuangan. Kesetiaan kepada perjuangan suci dan murni haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu mahupun kumpulan,” katanya.
Ujarnya lagi, pemuda UMNO harus berpijak pada kenyataan dan berpadulah pada akal fikiran kerana perpecahan bangsa samada di luar mahupun dalam parti menjadi punca kejatuhan ummah.
“Apa gunanya suatu kerajaan tanpa adanya negara, apa guna suatu negara jika tidak pada bangsanya dan apa ada pada bangsa jika tidak pada agamanya,” katanya mengakhiri bicara.