KOTA KINABALU – Polis sedang mencari kemungkinan bahawa bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berada di London selepas satu video di sebuah stesen kereta api pusat yang mula tular di media sosial.

Gambar dan video pendek itu dimuat naik seorang pengguna Facebook, Az Eem yang juga membuat pautan kepada Rafizi Ramli yang menerajui Invoke Malaysia.

Status tersebut dipaparkan beberapa jam lalu pada Khamis (31 Mei) dengan keterangan: Bekas KM (Ketua Menteri) Sabah dikesan di St Pancras, London.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu yang berjaket merah dan memakai topi, berdiri bersama troli bagasi dan seorang anak kecil sebagaimana yang ditunjukkan di dalam video tersebut, adalah Musa atau tidak.

Musa sehingga kini masih tidak dapat dikesan meskipun beberapa kali membuat kenyataan menerusi peguamnya.