BAGAN DATUK – Pekerja penyelenggaraan, Shahrul Pitri Jusoh, 35 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, atas tiga tuduhan membunuh kanak-kanak terbabit di Bagan Datuk, Perak 17 Mei lalu.

Tertuduh, turut berdepan tiga tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan mencederakan seorang kanak-kanak.

Shahrul Pitri dituduh atas tiga tuduhan berasingan membunuh Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5 tahun, dan dua adiknya, Muhammad Firash Zafrill, 3 tahun, dan Nur Zia Fasihah, 2 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Haji Muhammad.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 2.30 hingga 2.40 petang, 1 Ramadan lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Pada mahkamah berasingan, Shahrul Pitri dituduh cuba membunuh menggunakan parang terhadap guru agama, Redhuan Embi, 32 tahun.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap ibu tiga beradik berkenaan, Zuraidah Mat Ali, 35 tahun serta murid tahun empat, Nur Aina Umaira Subri, 10 tahun, serta tuduhan mencederakan Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 9 tahun.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 307 dan 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua empat pertuduhan.

Semua kes akan disebut semula 4 Julai depan.