KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa pernah menegur Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno berkaitan isu derma dan 1MDB namun tidak didengari kerana menganggap beliau hanyalah seorang pemimpin kecil.

“Saya tak akan jadi yes man dan pengampu kerana mempunyai prinsip. Saya sekadar boleh melupakan tapi tak boleh buat keputusan berkaitan isu 1MDB, derma untuk politik, soal sumber kewangan untuk diberi di peringkat akar umbi, saya bangkitkan dan perjuangankan.

“(Tapi ketika itu) saya pemimpin kecil tak ada kuasa, saya telah bercakap dan ingatkan (Najib) tapi sudahlah jadi iktibar.

“Saya percaya jika saya duduk sebagai naib presiden dan siapa presiden dia akan dengar cakap naib presiden, tak boleh buat keputusan sendiri-sendiri lagi. Tak nak jadi macam yang sudah-sudah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau bakal bersaing dengan tiga lagi calon yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan tersebut setakat ini iaitu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Shahidan Kassim.