KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini.
Menurut Tajuddin yang merupakan ahli parlimen Pasir Salak keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan Umno selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya janji depan semua saya akan bekerja habis-habisan. Saya akan turun padang dan bangkitkan semula obor perjuangan Umno.
“Saya dengan ini memohon restu dan pertolongan Allah untuk menawarkan diri sebagai Naib Presiden UMNO dan saya berjanji depan kawan-kawan saya ini saya akan bekerja habis-habisan dan turun padang di bahagian,” katanya.
Malah, beliau berikrar untuk tidak akan menjadi pengampu selain mempunyai prinsip, lantang dan akan berterus terang mewakili UMNO.
“Atas kesedaran dan keinsafan ini, saya mohon restu daripada Allah SWT untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO,” katanya.
Tajuddin berkata berdasarkan analisis yang dibuatnya, sebanyak 46 peratus orang Melayu masih memberi sokongan kepada Umno justeru katanya pemimpin parti itu perlu bangkit memperjuangkan orang Melayu.