SHAH ALAM – Tiga individu profesional yang bergelar peguam dan akauntan dari Perak memilih untuk membantu memulihkan Umno selepas parti Melayu itu tumbang pada PRU14 lalu.
Norali Nordin, Affendy Harun dan Hakim Hamzah masing-masing menawarkan diri untuk jawatan Ketua, Timbalan dan Naib Ketua bagi Umno Bahagian Ipoh Barat dalam pemilihan kali ini.
Menurut Hakim Hamzah yang merupakan AJK Umno Bahagian Ipoh Barat, keputusan bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian dan Majlis Tertinggi Umno itu dibuat kerana kini tiada lagi persepsi yang menyatakan penawaran dirinya itu demi habuan semata-mata.
“Selepas Umno-BN tewas pada 9 Mei lepas, kita faham rakyat telah memberi mesej yang jelas setelah mesej bertalu-talu pada tahun 2008 dan 2013 tidak disahut oleh kerajaan.
“Jadi, kami merasa terpanggil untuk menawarkan khidmat kerana mungkin ada yang berpendapat menyertai Umno atau ada jawatan dalam Umno ini untuk mendapat habuan tapi setelah kita tewas, tiada lagi jawatan GLC dan badan-badan berkanun yang boleh diberikan kepada pemimpin Umno.
“Jadi, kami yang mungkin sudah bergelar profesional, ada kerjaya masing-masing dengan pengalaman, pengetahuan dan ‘network’ yang ada, kami rasa kami berkebolehan dan ada sumber yang cukup untuk membantu Umno kembali pulih dan kembali ke akar-akar,” katanya ketika menjadi tetamu FB Live Sinar Harian – Umno Kembali ke Akar, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Hakim yang juga Naib Pengerusi Biro Penerangan Umno Ipoh Barat menegaskan kepentingan isytihar harta dalam kalangan pemimpin sebelum menjawat sebarang jawatan dalam parti.
“Ini penting kerana kita perlu tahu sebelum seseorang itu menawarkan diri sebagai penjawat dalam parti. Apakah menjawat jawatan itu untuk menambah kekayaan diri sahaja ataupun untuk berkhidmat dan menyumbang kepada parti?
“Kalau kita tak buat pengisytiharan di peringkat awal, kita tidak akan tahu dari mana asas mereka apabila menyertai,” katanya.
Tambahnya lagi, kekayaan tiba-tiba pemimpin BN akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.
“Apabila tidak isytihar harta, banyak persoalan timbul apabila pemimpin-pemimpin daripada Umno dan BN tiba-tiba kelihatan hidup mewah, kaya-raya, rumah besar, kereta besar dan banyak, bercuti luar negeri dan sebagainya.
“Ini secara langsung menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat. Dari manakah mereka perolehi kekayaan yang baharu ini? Adakah daripada kuasa yang baru diperolehi atau usaha titik peluh mereka sendiri? Jika ketelusan itu tiada, rasa syak wasangka masih berlegar di fikiran rakyat,” katanya. -SinarOnline