SUNGAI BESAR – Walaupun dalam buruan polis, calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan tampil memberi kerjasama kepada polis sekiranya memenangi pemilihan parti itu.
Beliau berkata demikian dalam klip video yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp berdurasi 39 saat sambil memakai jaket belang hijau dan hitam serta berlatar belakangkan tirai biru.
Jamal mendakwa beliau masih dalam negara dan berada dalam keadaan sihat.
“Jangan risau, esok gua (saya) menang Ketua Pemuda UMNO, lusa gua datang balai. Tiada masalah, gua tak cabut lari, gua mantap punya kaki, sebab depa (mereka) nak aniaya, gua cabutlah,” katanya.
Ini terbukti dalam satu lagi klip video berasingan, Jamal menegaskan, calon Ketua Pemuda UMNO perlu berani di lapangan dan bukan hanya banyak bercakap.
“Jangan bimbang kena tangkap, kena reman dan kena tuduh.
“Saya sudah (menghadapi) berpuluh-puluh tuduhan, tak bimbang pun, tapi sampai sekarang tak bisa dikesan dalam radar.
“Ini baru boleh jadi pemimpin ketua. Dikepung malah direman pun boleh lolos,” katanya dalam video berdurasi 44 saat itu.