Kuala Lumpur – Aiman Nosri,27 tahun dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam kereta miliknya di tempat letak kenderaan Taman Selayang Baru malam tadi.

Mangsa dilaporkan hilang dua hari lalu sebelum ditemui dalam keadaan terlingkup di bahagian penumpang belakang dalam kereta jenis Perodua Myvi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Tey Kong Seng berkata, pihak polis menerima aduan daripada bapa tiri mangsa yang mengatakan kereta lelaki itu ditemui di kawasan letak kenderaan Taman Selayang Baru.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis bersama pengadu ke lokasi sebelum menemui mangsa dengan kesan melecet pada lehernya.

Mangsa berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu ditemui dalam keadaan terlingkup di tempat duduk penumpang belakang, namun tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan mangsa.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Pihak polis juga sedang memeriksa pelanggan terakhir (Grab) mangsa.