KUALA LUMPUR – Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kesahihan pendedahan sebuah blog yang membongkarkan Datuk Seri Azmin Ali mengumpul kekayaan lebih RM300 juta dalam pelbagai akaun di luar negara sepanjang memegang jawatan Menteri Besar Selangor sejak 2014.
“Saya minta PDRM menjalankan siasatan ke atas kandungan laporan ini yang mendakwa kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh Mohamed Azmin, isteri, adik ipar dan proksi datangnya rasuah yang diterima.
“Diharapkan mereka terbabit ini dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya terdapat bukti yang kukuh,” katanya pada sidang media di Pandan Indah, hari ini.
Lokman mengulas dakwaan sebuah blog yang menyatakan bahawa Azmin Ali memiliki 54 akaun bank di Malaysia, Indonesia, Singapore, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan Amerika Syarikat selain isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin turut memiliki 47 akaun.
Terdahulu, Azmin Ali yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan kesediaannya untuk disiasat pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan dan bukti kukuh terhadapnya. -KLBroadcast