KUALA LUMPUR – “Jangan lupa saya ialah Presiden Umno dan BN dengan 13 parti komponen, kata Datuk Seri Najib Tun Razak mengulas mengenai wang tunai RM116 juta yang dirampas pihak berkuasa ketika serbuan di kediamannya.
Sebelum ini, bekas perdana menteri keenam itu memberitahu wang tersebut merupakan perbelanjaan untuk pilihan raya umum.
Sehubungan itu, ketika ditanya dalam satu wawancara oleh Malaysiakini semalam tentang penemuan wang tersebut selepas PRU14 pada 9 Mei, Najib menjawab:
“Anda tidak akan tahu berapa banyak kos kempen pilihan raya sebenarnya dan anda juga tidak akan tahu berapa banyak orang yang akan memberi sumbangan kepada anda.
“Mustahil untuk ada kosong baki bersih. Walau apa pun, bila anda bertanding untuk pilihan raya, anda perlu keluarkan duit untuk sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Bahkan Najib turut memetik nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyerahkan wang RM1.4 bilion kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Menguruskan sebuah parti yang besar dengan tiga juta ahli seperti Umno merupakan urusan yang mahal. Dan, untuk rekod, ketika Mahathir meletakkan jawatan, beliau menyerahkan RM1.4 bilion kepada Tun Abdullah dalam bentuk aset dan wang tunai. Itu tercatat.
“Jadi, dalam konteks itu, ia wang yang dijumpai itu adalah sebahagian kecil daripada jumlah berkenaan,” katanya.