KUALA LUMPUR – Masuk hampir tiga bulan negara kini dibawah pemerintahan kerajaan baharu yang mana pucuk pimpinannya diterajui semula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.
Kisah politik dan keputusan PRU14 yang lalu masih lagi menjadi bualan hangat ramai termasuklah mengenai sebilangan selebriti yang didakwa cepat bertukar arah dan fahaman politik apabila memberi sokongan kepada kerajaan sekarang (Pakatan Harapan).
Sedangkan sebelum ini mereka bersungguh-sungguh menyokong parti Barisan Nasional sehingga ada yang menggelarkan segelintir penggiat seni sebagai ‘lalang’.
Selebriti media sosial, Wak Doyok yang dilihat paling popular dilabel sebagai ‘lalang’ oleh netizen.
Terkini, melalui sekeping gambar tular, Wak Doyok dikatakan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).
Namun, pada masa sama muncul cakap-cakap belakang terhadap penyertaan Wak Doyok yang kurang senang dengan tindakannya itu.
Menjawab komen itu, pemilik nama sebenar Mohd Azwan Md Nor itu berkata tiada perkara pelik jika dia mendaftarkan dirinya sebagai ahli AMANAH kerana ini adalah negara demokrasi.
“Yang tidak berpuas hati, mereka tiada hak untuk menghalang kerana ini pilihan individu malah mereka tidak boleh sekat sesiapa untuk masuk mana-mana parti.
“Nak cakap saya lalang atau masuk sebab jawatan itu, terpulang kerana yang penting saya tahu apa yang diperjuangkan.
“Yang banyak cakap itu, entah-entah belum pun mendaftar sebagai pengundi,” katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod, Wak Doyok, 38, mengaku dia menjadi anggota PAS sejak 1998 sebelum menandatangani borang keahlian AMANAH pada minggu lalu.
Jika sebelum ini kelibat selebriti media sosial serta ikon fesyen tempatan itu pernah dilihat menghadiri majlis-majlis berkaitan BN, katanya, itu hanya sebagai memenuhi undangan dan menambah pendapatan.
“Saya tidak pernah masuk Umno, dulu datang sekadar memberi sokongan dan mencari rezeki, hanya sebahagian orang yang ada dalam bidang ini saja memahami konsep itu,” katanya.

