JASIN – Ketua Wanita Umno Jasin Datuk Zaleha Bujang mendermakan seutas barang kemas bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar yuran guamannya.
Ia berikutan inisiatif tabung Solidariti Bebaskan Najib yang diwujudkan oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan .
Tabung itu difahamkan sudah mengumpul kutipan berjumlah RM86,282 setakat petang Jumaat.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook, Zaleha, 60, menyerahkan seutas gelang emas miliknya untuk didermakan kepada tabung itu.
“Pada pagi Jumaat yang mulia ini saya mahu serahkan gelang yang saya pakai, yang saya sayangi, untuk tabung Datuk Seri Najib Razak.
“Semoga Allah melindungi Najib daripada perkara-perkara yang menganiaya beliau,” katanya diiringi sokongan rakan-rakannya.
Klip video itu diertai keterangan: “Demi parti Umno yang dikasihi…derma untuk tabung DSN (Najib)”.
Selain gelang, Zaleha turut menyumbangkan sejumlah wang tunai untuk tabung berkenaan. Namun, dia tidak mahu mendedahkan jumlah sumbangannya itu.
Mengulas mengenai sumbangan barang kemas, dia mengambil pendekatan itu bagi mengikut jejak langkah kumpulan wanita zaman dahulu yang sanggup mendermakan barang kemas mereka dalam usaha menuntut kemerdekaan negara.
Najib pada Rabu lalu didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung SRC International, sebuah syarikat subsidiari 1MDB.
Najib mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib untuk membayar ikat jamin RM1 juta melalui dua kali bayaran.
Najib membayar RM500,000 wang tunai pada hari itu dan peguamnya berjanji bekas perdana menteri itu akan membayar baki RM500,000 pada Isnin.