PETALING JAYA –  Beberapa pertubuhan di bawah Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN) melahirkan rasa kecewa dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK), Datuk Saifuddin Nasution kerana mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka berhubung dakwaan ‘restoran mamak’ masih mengekalkan harga lama walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) disifarkan sejak 1 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir berkata, statistik yang diumumkan oleh Saifuddin hanya merujuk kepada masyarakat India Muslim disifatkan sebagai tidak berasas, malah berbentuk perkauman.

Katanya juga KPDNKK hanya menyalahkan operator makanan India Muslim sahaja dalam isu tiada penurunan harga makanan.

“Kami tidak faham dengan kenyataan beliau, hanya masyarakat India Muslim dinamakan. Adakah pengusaha-pengusaha makanan lain telah mematuhi harga itu?

“Menteri perlu memberi statistik mengikut operator makanan dan bukan mengikut kaum. Kalau dia bagi statistik mengikut kaum, itu adalah kenyataan yang rasis.

mimcoin2
sidang media Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN) bagi membantah kenyataan Menteri KPDNKK yang menyalahkan operator makanan India Muslim dalam isu pasca GST di Petaling Jaya, Selangor

Syed Jamarulkhan juga mempersoalkan adakah pengusaha lain sudah mematuhi arahan kementerian.

“Pada pandangan kami kenyataan itu rasis, tertumpu pada satu kaum dan cubaan menuduh seolah-olah kami tidak jujur dalam menjalankan perniagaaan.

“Kami sokong kerajaan Pakatan Harapan (PH), semua masyarakat di Malaysia mempunyai harapan baharu, tapi jangan dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja, kami membantahnya,” ” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.