Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan mendedahkan tidak mendapat maklumat mencukupi ketika merangka manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum lalu.

Ini kerana menurut pembantu khas kepada menteri pendidikan itu, beliau tidak dapat mengakses kepada maklumat atau data tertentu, menyebabkan wujud ‘kelemahan’ dalam manifesto berkenaan.

“Sebenarnya pada waktu saya menulis, saya sentiasa sedar bahawa ada satu kelemahan yang amat ketara yang saya hadapi iaitu saya tidak ada, pada waktu itu, data terkini mengenai status kewangan negara.

“Maka saya tidak dapat membuat anggaran berapa kos sebenar yang perlu dibayar untuk melaksanakan program-program yang saya sendiri tuliskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) bertajuk Buku Harapan: Satu Dokumentasi Penyediaan Sebuah Manifesto di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Menjelaskan lagi perkara itu, bekas ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, ekoran itu juga beliau berpendapat mungkin terdapat janji dalam manifesto HARAPAN tidak dapat ditunaikan.

“Masa menulis banyak maklumat tidak ada sebab tiada akses kepada pegawai kerajaan kerana kerajaan sebelum ini tidak benarkan.

“Dengan realiti itu, mungkin ada janji yang tidak dapat dilaksanakan,” katanya lagi. -MalaysiaKini