KUALA LUMPUR – Hasrat penduduk Jalan Kuari Cheras, di sini untuk menuntut kerajaan mempertimbangkan permohonan pembinaan masjid di kawasan yang dicadangkan, akan dipertimbangkan.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, beliau mendengar keluhan penduduk yang majoriti beragama Islam untuk memohon pembinaan rumah ibadat di kawasan itu kerana belum ada lagi masjid di kawasan parlimen Cheras.
“Kerana kampung ini berada di tengah-tengah Parlimen Cheras, maka mereka mahukan masjid untuk berjemaah, kariah di kawasan ini jadi saya fikir bahawa tuntutan atau kemahuan penduduk di kawasan itu adalah releven atau berpatutan sekali.
“Dan saya telah pun memaklumkan iaitu untuk pihak pengurusan masjid untuk membuat permohonan kepada pihak yang berkuasa terutamanya pihak MAIWP dan memaklumkan kepada menteri tentang kehendak penduduk di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Parlimen Cheras pada Sabtu.



Menurutnya, kementerian akan melihat keperluan dari segi dana dan peruntukan bagi pembinaan masjid baharu di atas tapak yang bakal dikenal pasti.
Ketua PPBM Cheras, Datuk Samsu Adabi Mamat pula berkata banyak perkara-perkara serta isu penting dapat dibincangkan semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Wilayah ke kawasan itu, namun pembinaan masjid di kawasan Parlimen Cheras amat dititikberatkan.
“Kita akan mengusahakan kertas kerja pembinaan masjid terutamanya untuk direalisasikan bagi menampung keperluan penduduk Islam di kawasan ini, katanya.