KUALA LUMPUR –  Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, antara pihak cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ke-8 Malaysia.

Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, disebabkan itu senarai pilihan atau “cai” yang diketuai Rafizi Ramli diwujudkan bagi mengelakkan pengkhianat dan kumpulan kartel menguasai pucuk pimpinan parti serta menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

“Kita tahu kebelakangan ini banyak pihak yang cuba halang Datuk Seri Anwar jadi perdana menteri, kita tahu mereka menzalimi Datuk Seri Anwar,” katanya dalam jelajah “Debat Reformasi 20 Tahun” di Negeri Sembilan, Ahad malam yang turut dihadiri Rafizi.

“Kalau tidak pilih Rafizi hari ini (sebagai timbalan presiden PKR), sudah tentu sukar Datuk Seri Anwar (menjadi) perdana menteri.”

Abdullah Sani turut menggesa ahli PKR memilih pasukan Rafizi dalam pemilihan parti akan datang.

rafimin
Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keputusan menyokong Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden PKR kerana beliau lebih baik daripada penyandang, Azmin Ali.

“Jangan ada halangan untuk angkat Datuk Seri Anwar jadi perdana menteri. Tiada pilihan, Rafizi yang akan kita nobat menjadi timbalan presiden PKR dan ikuti 4 naib presiden.

“Kenapa perlukan gabungan ini? Sebab kita tidak mahu ada pengkhianat, penjenayah ini duduk dalam pimpinan tertinggi.

“Siapa yang mahu kita angkat? Nurul Izzah Anwar, Datuk Johari Abdul, William Leong dan S Kesavan, pilihan lain tidak ada untuk pastikan tiada kacau bilau dalam pentadbiran Anwar.”

Beliau turut mengkritik kumpulan kartel dalam PKR tanpa menyebut menamakan sesiapa.

Manakala Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Encik Anwar Ibrahim pula menolak spekulasi bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedang ‘menggunakan’ Azmin Ali untuk menyekat pengaruh beliau dalam kerajaan dan parti.

Tambah Anwar, kenyataan Abdullah Sani yang menggesa ahli parti menolak penyandang Timbalan Presiden Azmin Ali dalam pemilihan hanyalah pandangan peribadi.

Beliau juga menggesa ahli parti menumpukan kepada isu mengenai dasar parti dalam membuat kenyataan berbanding serangan seperti itu.