KUALA LUMPUR – Hampir 100 penduduk berhimpun bagi memohon kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar membuat siasatan berhubung kelulusan pembinaan kondominium mewah 45 tingkat yang bakal dibangunkan di atas tanah rizab kerajaan di Lot 810, Lorong Peel, Seksyen 90 kerana dikuatiri mempunyai unsur salah guna kuasa.

Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tony Tan Chee Chong berkata, kawasan tanah rizab tersebut pada asalnya adalah bagi pembinaan jalan raya dan malangnya kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) telah meluluskan tanah rizab itu untuk membina bangunan.

“Masa itu kita ada hantar surat kepada Menteri Wilayah ketika itu, tetapi mereka tidak layan kita. Pihaknya cuma panggil kita pergi bermesyuarat sahaja, lepas mesyuarat langsung tidak ada apa-apa.

“Sekarang sudah tukar kerajaan baharu, saya harap kerajaan sekarang boleh tolong rakyat. Itu adalah jalan raya dan jalan raya itu adalah hak rakyat,” katanya dalam satu sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Bantahan yang bermula pada pukul 12.30 tengahari itu turut dihadiri penduduk yang tinggal berhampiran tanah rizab tersebut seperti Maluri dan Pandan Jaya.

Ditanya mengenai risiko yang bakal dihadapi penduduk selepas pembinaan diteruskan, Tan Chee Chong memberitahu, penduduk akan mengalami masalah apabila perlu berpusing jauh untuk sampai ke kediaman mereka sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk.

Sementara itu, dalam perhimpunan bantahan tersebut juga, Tan Chee Chong turut menyerahkan memorandum kepada pihak DBKL yang diwakili oleh Pegawai Khas Menteri Wilayah, Nik Abd. Razak Nik Md. Ridzuan.

Memorandum itu jelas menyatakan dan menyeru Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan DBKL agar menarik balik permit pembinaan kondominium mewah di sebuah lot tanah rezab yang akan dibangunkan pemaju Tetuan Pavilion Integrity Sdn. Bhd.

Dalam memorandum yang sama, kerajaan PH selaku kerajaan baharu yang berjanji untuk membendung isu rasuah turut diminta untuk membuat siasatan terperinci. – UTUSAN ONLINE