KUALA LUMPUR – Langkah Kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan Bantuan Rakyat Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat sebelum memansuhkan terus merupakan satu bentuk penghapusan kebajikan kepada 7 juta penerima bantuan itu.

Exco Pemuda UMNO Bukit Bintang, Zhafirin Mat Yusof berkata kerajaan mengambil langkah yang melulu meminta rakyat berdikari tanpa bantuan serta tindakan menghapuskan elaun bantuan sara hidup rakyat adalah tidak wajar kerana selain Malaysia beberapa negara maju di dunia telah mengamalkan bantuan ini kepada rakyatnya.

“Bantuan sara hidup rakyat ini bukan bertujuan untuk memberikan rakyat wang secara percuma tanpa perlu bekerja tetapi merupakan hadiah ataupun sumbangan dari kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya dalam meringankan beban kewangan keluarga penerima kerana setiap penerima bantuan tersebut adalah mereka yang di klasifikasikan layak mengikut pendapatan seisi rumah tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Malah negara Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berkebajikan di dunia yang sentiasa menjaga kebajikan dan sangat prihatin terhadap kepentingan kesejahteraan rakyatnya selain menuju kearah negara berkebajikan yang berkembang maju dan kemiskinan sifar.

“Kerajaan telah di pilih oleh rakyat menerusi proses pemilihan yang adil dan demokrasi melalui pilihanraya umum yang lepas seharusnya memikirkan untuk menjalankan tanggungjawab yang bijaksana bagi menguruskan dan melaksanakan program-program bagi meringankan bebanan rakyat dalam menghadapi situasi ekonomi hari ini kearah kehidupan yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pemberian BR1M mula diperkenalkan pada tahun 2012, dan merangkumi RM1,200 kepada penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Peserta program eKasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah turut menerima bantuan BR1M.

Sehubungan itu Zhafirin juga mendesak kerajaan supaya mengkaji secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan menghapuskan bantuan tersebut. -KLBroadcast