KUALA LUMPUR – Rakyat mesti membantah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang terang-terangan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Mohd Khairulnizam menegaskan bahawa tindakan unilateral pihak Kerajaan dalam hasrat meratifikasi instrumen antarabangsa ICERD adalah tindakan yang membelakangkan majoriti rakyat berbangsa Melayu, Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak sebagai pemegang-taruh kepada Perkara-Perkara yang berkait, malah perbuatan membelakangkan peranan Majlis Raja-Raja yang menjadi rujukan terakhir dalam Perkara 153 dan 159 adalah kebiadapan tahap tinggi dalam usaha yang boleh meleburkan kedaulatan negara.

“ICERD menyentuh kepentingan majoriti Rakyat Negara ini dan sewajarnya ia dibincang dengan Rakyat secara menyeluruh. UMNO Bukit Bintang berpendapat, referendum adalah jalan terbaik sekiranya perkara amat mendasar ini hendak diteruskan oleh Kerajaan, dan hentikan budaya demokrasi elit.

“UMNO Bukit Bintang menentang kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy pada 24 Oktober seperti dilaporkan oleh portal ‘theedgemarket.com’, bahawa Kerajaan komited untuk meratifikasi kesemua enam konvensyen teras antrabangsa berkaitan hak asasi.

“Waytha Moorthy juga menyebut bahawa perkara yang beliau kemukakan sudah pun mendapat komitmen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mujahid Yusof, Menteri bertanggungjawab tentang Agama, dan diperkukuh oleh kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad”, katanya dalam satu kenyataan akhbar.

8e4161c3-01b0-4f45-b2fb-551368206efd
Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan pada Ahad
85feeb05-1551-434e-a2f6-0dba3a399d0e
Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan pada Ahad
fa968c17-9dde-4cf5-9ce5-558e4f94947a
Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Mohd Khairulnizam bersama turut serta dalam Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang diadakan pada Ahad

Menurut Khairulnizam, UMNO secara tegas berpendirian serta sudah membuktikan sejak beberapa dekad lalu menolak politik perkauman dan diskriminasi yang menindas. Malah UMNO mengamalkan dasar inklusif.

UMNO Bukit Bintang juga ingin menarik perhatian Kerajaan dan Menteri khususnya supaya memahami sejarah dan proses tuntutan merdeka serta beberapa siri perbincangan dalam membuat Perlembagaan Persekutuan. Dalam siri perbincangan tersebut, perkara paling lama dan sukar untuk mendapat persetujuan antara pihak-pihak yang berbincang adalah mengenai intipati Perkara 153 dan mengenai Kewarganegaraan.

Persetujuan yang dicapai mengenai dua perkara tersebut yang kemudiannya dimasukkan sebagai Perkara-Perkara berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan serta pelaksanaannya, pada keyakinan kami, telah berjaya mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur didiami.

Tindakan meratifikasi instrument-instrumen antarabangsa secara borong adalah satu ketidakjujuran kerana instrumen-instrumen tersebut secara langsung akan memberi kesan kepada kedaulatan negara. Instrumen-instrumen antarabangsa tersebut dibuat bukan atas persetujuan rakyat Malaysia, tetapi pandangan-pandangan luar yang jahil tentang sejarah, budaya, nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang wujud dalam negara ini.

UMNO Bukit Bintang ingin memberi peringatan kepada pihak Kerajaan bahawa pendirian untuk meratifikasi Konvensyen antarabangsa secara borong sedemikian, selain daripada merupakan tindakan yang tidak baik sebagai polisi luar negara bagi Malaysia, malah lebih malang lagi ialah kedamaian yang telah dikecapi melalui kewujudan Perkara-Perkara tersebut dalam Perlembagaan Persekutuan, boleh musnah dalam masa yang singkat.

Menurutnya lagi, perkara-perkara yang hendak dirobek tersebut merupakan pasak kepada kedamaian dan kehidupan harmoni negara ini. Sekiranya ia diusik, apa lagi dengan kuasa yang tidak diberi mandat secara penuh oleh rakyat, kami bimbang negara akan terjerumus ke dalam kancah kekacauan dan ketidakstabilan, serta boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Sekiranya kerajaan berhasrat meratifikasi ICERD dan melaksanakan sepenuhnya kehendak konvensyen itu di negara ini, Perkara 153 perlu dipinda dan pindaan serupa itu memerlukan bukan hanya undi majoriti dua-pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negara, bahkan juga kelulusan dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

UMNO Bukit Bintang menggesa agar tindakan meratifikasi ICERD ini tidak akan dibuat secara terburu-buru. -KLBroadcast