KUALA LUMPUR – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berharap kerajaan dapat mempercepatkan isu pengurusan pekerja asing selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Presiden baharu MAICCI Datuk N. Gobalakrishnan berkata ahli perniagaan di bawah badan itu menzahirkan kebimbangan kerana pembekuan pekerja asing telah memberikan kesan terhadap perniagaan mereka.

“Isu ini sudah agak lama hampir lima tahun dan kami sudahpun membuat kunjungan ke atas Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran dan berbincang mengenainya.

“Ia bukan sahaja melibatkan Kementerian Sumber Manusia tetapi juga Kementerian Dalam Negeri… kami berharap kerajaan dapat memberikan kata putus yang segera,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Gobalakrishnan berkata ahli perniagaan di bawah MAICCI memerlukan kira-kira 30,000 pekerja asing bagi menampung keperluan semasa dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan dan perladangan.

Pada 14 Ogos lepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa bebas bagi menyelaras secara menyeluruh dasar dan mengurus pekerja asing.

Jawatankuasa bebas itu berperanan membuat cadangan kepada kerajaan selepas mendapatkan pandangan daripada semua pihak di setiap negeri supaya ada satu keputusan menyeluruh dalam isu pekerja asing.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengambilan pekerja asing melalui ejen atau syarikat tertentu akan dimansuhkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Gobalakrishnan berkata bagi menambah baik badan itu, tempoh jawatan presiden MAICCI akan dihadkan untuk dua penggal sahaja bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

“Jawatan presiden MAICCI sebelum ini diberikan kelonggaran dan tiada had penggal, usul ini akan dimasukkan dalam mesyuarat agung tahunan akan datang,” katanya. – Bernama