KUALA LUMPUR – Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Cryptovalley Malaysia (CVM) hari ini telah menandatangani perjanjian Memorandum of Agreement (MoA) untuk melaksanakan teknologi Blockchain di dalam sektor automotif negara.

Kerjasama antara MAI dan CVM, persatuan teknologi terkenal bagi ‘blockchain’ dan komuniti teknologi pesat hibrid Malaysia, akan mendorong empat usaha serta-merta bagi manfaat pengguna, usahawan dan perlindungan alam sekitar.

MoA itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari dan Pengasas Bersama CVM, Koh How Tze.

mai5
MoA berkenaan ditandatangani oleh Datuk Madani Sahari yang mewakili MAI manakala CVM diwakili oleh Pengasas bersamanya, Koh How Tze

Perjanjian tersebut bertindak sebagai penggerak kepada polisi yang baharu sahaja dilancarkan baru-baru ini, iaitu National Policy on Industry 4.0 (Industry4WRD).

Teknologi Blockchain merupakan istilah kepada transaksi data (dikenali sebagai rantaian blok) yang dikongsi menerusi rangkaian peer-to-peer (P2P) di dalam awan.

Menggunakan teknologi cryptografi, setiap blok data ini dilindungi daripada digodam dan para pengguna pula boleh memuat naik dan mengemas kini rekod yang terdapat menerusi rangkaian yang disebutkan tadi.

Berbeza daripada pengurusan data yang diketahui umum, pihak berkuasa tidak lagi berupaya ‘memiliki’ data, sebaliknya ia dipantau oleh komuniti di dalam rangkaian P2P tadi bagi memelihara nilai dan integriti data tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, penggunaan teknologi blockchain dapat dimanfaatkan bagi meneroka peluang-peluang baharu kerana MAI telah pun sedia memiliki super komputer dan Big Data Analytics (BDA) bagi membolehkan data-data industri automotif dikumpul dan dianalisa.

“Kita di Malaysia kena sedar segala aktiviti yang kita lakukan akan mengeluarkan data dan ada data daripada aktiviti-aktiviti ini boleh kita guna pakai untuk hasilkan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan.

“Cuma data-data ini harus kita lakukan kriptografi dan ada platform supaya data ini dapat dikumpul dan dianalisa supaya dapat memberi peluang kepada orang Malaysia untuk memulakan perniagaan dalam bidang-bidang baharu,” katanya.