KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tertentu yang membantah pembinaan projek Pusat Penyembelihan Ayam Halal Bersepadu di Selayang, di sini dilihat lebih bersifat individu dan kepentingan peribadi pihak tertentu.
Pengarah Urusan Sahih Group Sdn. Bhd, Ahmad Jefri Mohd Meidin berkata, bantahan yang dibuat pihak ‘NGO jadian’ tersebut adalah tidak berasas selain alasan yang dikemukakan tidak jelas.
“Melihat kepada segelintir bantahan yang dibuat oleh ‘NGO jadian’ ini, saya dapati ia nya tidak berasas sama sekali. Kerisauan yang timbul dari puak-puak yang membantah ini sebenarnya ianya lebih bersifat kepada kepentingan perniagaan masing-masing,” katanya.
Dakwanya ada satu pihak yang membantah projek ini dan berkemungkinan kerana ia tidak mendatangkan keuntungan secara peribadi.
“Sedangkan apa yang cuba dilaksanakan kerajaan adalah untuk memastikan produk yang dikeluarkan khususnya dalam aspek penyembelihan adalah mengikut piawaian yang ditetapkan selain faktor halal dan bersih.
“Pentingnya projek ini dilaksanakan bukan di satu tempat perlu ada lagi di seluruh negara akan datang bagi memberikan satu jaminan kepada pengguna-pengguna di kawasan tersebut, terutamanya pengguna Islam yang lebih menitikkan perkara-perkara halal dan toyyiban”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media kenyataan balas bagi pihak pemaju pada Isnin. -KLBroadcast