KUALA LUMPUR – Tan Sri M Kayveas dari Parti Progresif Penduduk (MyPPP) akhirnya mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.
Presiden MyPPP itu berkata, perkara itu diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP hari ini, yang bersetuju untuk meletakkannya sebagai calon pada PRK berkenaan.
“Majlis Tertinggi hari ini memutuskan secara sebulat suara untuk MyPPP bertanding dalam PRK Cameron Highlands dan mereka mencadangkan saya sebagai calon parti.
“Saya bersetuju untuk mencuba dan ini akan menjadikan PRK Cameron Highlands lebih menarik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di Wisma MyPPP di sini, hari ini.
Katanya rancangannya untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands untuk mencetuskan kemeriahan.
Menurut Kayveas lagi, parti itu telah memutuskan untuk meletakkan beliau kerana mereka kini tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).
“Kami telah melalui beberapa masa yang sukar dan apabila kami mahu meninggalkan BN, kami ditekan dan diancam, kami kini memutuskan untuk berdiri sendiri dan menikmati kebebasan kami,” katanya.
Kayveas berkata bahawa beliau tidak tahu berapa jumlah ahli PPP buat masa ini dan parti itu bergantung kepada sumbangan derma untuk melakukan kempen di Cameron Highlands.
Untuk rekod, Presiden MyPPP itu yang merupakan anak jati Pahang, sudah menanti selama 19 tahun untuk berkhidmat di negeri kelahirannya.
Pada PRU-14 yang lepas, MIC diberi peluang untuk bertanding dan calon dari parti itu, Datuk C. Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Pada 30 November 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah. -KLBroadcast