KUALA LUMPUR – Seramai 296 kanak-kanak daripada 5 pusat kebajikan menerima sumbangan ikhlas iaitu baju raya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Kanak-kanak tersebut terdiri daripada Rumah Titian Kasih Al-Inayah, Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah Kg Johan Setia Klang, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Rumah Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa serta Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah Kajang.

malik2

Program amal ‘Jom Shopping Raya’ ini dianjurkan oleh syarikat Malik Streams Corporation bersama sebuah syarikat kesihatan dan kecantikan Iman Health and Beauty Sdn Bhd, di Jakel Mall Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, program amal ini diadakan pada setiap tahun dan ini merupakan tahun ke-sembilan ianya dijalankan.

“Buat masa ini, kita menganggap program ini popular dan masih relevan dalam meringankan beban mereka. Insya-Allah dengan program murni ini, ia boleh diteruskan untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan agar turut merasai kegembiraan Aidilfitri”.

Ujarnya lagi, pihaknya berhasrat untuk menghantar seramai 100 orang yang tidak berkemampuan untuk menunaikan umrah.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada sumbangan syarikatnya bagi membantu umat Islam yang tidak berkemampuan untuk menunaikan umrah ke Tanah Suci.

“Setiap tahun memang kami berikan, tahun 2017 kita telah menghantar 50 orang pergi mengerjakan umrah, tahun ini kita telah berniat untuk menghantar seramai 100 orang ke umrah.”

“Jadi ianya merupakan satu peningkatan”, katanya yang ditemui media pada program ‘Jom Shopping Raya’ di Wisma Jakel Jalan Munshi Abdullah.