KUALA LUMPUR: Penyanyi Zarith Sofia Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap dua pertuduhan menyimpan dan mengurung anak beruang matahari di kondominium miliknya, minggu lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Sebelum ini bekas peserta program realiti yang dikenali dengan gelaran Pia itu ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati memelihara dan menyimpan seekor beruang matahari secara haram di kondominiumnya di ibu negara.

Pia dilaporkan berkata dia tidak berniat untuk membela anak beruang itu sebaliknya merancang menghantar haiwan dilindungi itu kepada pihak berkuasa selepas keadaan beruang itu sihat. -BeritaHarian