Menara Kuala Lumpur telah menganjurkan ‘KL Tower International Jump Malaysia (KLTIJM)’ selama 18 tahun dengan cemerlang dan telah menarik penerjun dari seluruh dunia. Acara ini menjadi acara penting dan merupakan acara utama untuk Menara Kuala Lumpur terutamanya dan Malaysia secara umumnya.
Terdapat hanya dua menara di dunia yang menganjurkan acara terjunan BASE antarabangsa ini, iaitu Tallinn TV Tower Estonia dan Menara Kuala Lumpur Malaysia. Menara Kuala Lumpur telah menjadi penanda aras kepada penganjur acara terjunan BASE yang lain kerana kami secara tegas mengambil langkah-langkah keselamatan sebagai keutamaan kami dan tugas-tugas teknikal yang diuruskan oleh para pakar.
Tahun ini, aspek teknikal organisasi acara ini akan diuruskan oleh ‘ABABIL BASE JUMP CLUB’. Kelab ini terdiri daripada ahli-ahli dari penerjun BASE tempatan yang mempunyai pengalaman dan kemahiran yang tinggi dalam menyelaraskan dan mengurus aliran teknikal acara tersebut.
Pada tahun ini, Menara Kuala Lumpur dengan bangganya mengumumkan bahawa ‘KL Tower International Jump Malaysia’ akan menjadi sebahagian daripada siri acara terjunan BASE di Malaysia untuk tahun 2019. Acara terjunan BASE ini akan mempromosikan 4 lokasi acara untuk memberi penerjun BASE peluang untuk mengalami cabaran dan keunikan lokasi-lokasi ini. Antara lokasi yang terlibat adalah:
- Menara Alor Setar International Jump @ Menara Alor Setar, 11 – 13 September 2019 (terjunan dari ketinggian 105 meter)
- Gua Damai International BASE Jump @ Gua Damai, Batu Caves, 15 – 17 September 2019 (terjunan dari ketinggian 100 meter)
- Sibu International BASE Jumps @ Wisma Sanyan, Sibu, 19 – 22 September 2019 (terjunan dari ketinggian 125 meter)
- KL Tower International Jump Malaysia 2019 @ Menara Kuala Lumpur, 26 – 29 September 2019 (terjunan dari ketinggian 300 meter)
Terjunan ini akan bermula di Menara Alor Setar dimana penerjun akan terjun dari Sky Deck pada ketinggian 105 meter dari paras laut dan akan mendarat di Taman Jubli berdekatan.
Siri ini akan berakhir di Menara Kuala Lumpur untuk ‘KL Tower International Jump Malaysia 2019’ yang telah memasuki tahun ke-19 tahun ini. Ianya akan mempamerkan terjunan menarik untuk memberikan keseronokan kepada pengunjung ketika mereka duduk di tebing Sky Deck.