KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) memohon kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan membuka semula pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) pada 1 September ini.
Ia mengambil kira perkembangan ekonomi semasa negara dan peluang kerja yang ditawarkan adalah sangat sedikit.
Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, menyarankan kerajaan menangguhkan keputusan ini kepada tempoh masa yang difikirkan sesuai selepas keadaan ekonomi benar-benar stabil.

Katanya lagi penangguhan itu penting bagi mengelakkan lambakan kontraktor berstatus berkenaan yang kini mencecah 20,439 orang berdepan kesukaran mendapatkan projek.
Rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan hanya 1,014 daripada 20,439 kontraktor G1 Bumiputera mendapat projek bernilai RM55.4 juta dari Jun 2018 hingga April 2019.
“Situasi ini jelas menunjukkan pembukaan perdaftaran baharu akan menimbulkan masalah bukan hanya kepada kontraktor G1 Bumiputera sedia ada malah juga kepada mereka yang baharu berdaftar yang jelas sukar mendapat kontrak”
“Kontraktor pun tak ada kerja, nak buat tu tambah lagi tu.. (tak sesuai) yang sedia ada pun tak boleh cari makan. Kalau kita kata nak tutup pun tak boleh kerana ia adalah kehendak rakyat, tapi ini satu bidang yang teruk, tak boleh cari makan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.