JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal berdepan  hukuman mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan apabila didakwa membunuh anak kandungnya sendiri yang baru berusia 2 tahun.

Doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan mengesyaki terdapat unsur penderaan berikutan kesan lebam serta gigitan pada tangan dan perut mangsa. Menurut Harian Metro, pihak polis percaya bahawa punca utama kanak-kanak terbabit meninggal dunia adalah disebabkan komplikasi pecah usus.

ibutunggal
Suspek merupakan seorang pekerja kilang dan tinggal bersekedudukan bersama teman lelaki 

Suspek utama iaitu Nurul Shamira Mazlan, 22 tahun  bekerja sebagai operator di sebuah kilang.

Suspek turut dikatakan tinggal bersekedudukan bersama teman lelakinya. Malah, menurut laporan, suspek pernah meninggalkan anaknya dalam jagaan teman lelaki ketika suspek bekerja.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai Qi, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Norazihan Adnan, Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Jack Sumatra.

Terdahulu, tertuduh dilihat beberapa kali mengesat air mata ketika duduk di tepi kandang tertuduh.

Sementara itu, Muhammad Ashraff memaklumkan bahawa teman lelaki anak guamnya yang berusia 33 tahun, dilepaskan bawah jaminan mahkamah dan akan dipanggil untuk menjadi saksi dalam kes berkenaan.

Majistret kemudian menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh sebutan kedua kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia.