KUALA LUMPUR – Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak dua bulan lalu nampaknya memberi kesan terhadap ekonomi rakyat.

Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan hari ini menyaksikan kedai pajak gadai menjadi tumpuan orang ramai.

Pengguna media sosial turut berkongsi gambar dan video orang ramai yang sanggup beratur panjang di depan kedai pajak gadai menunggu giliran.

Perkongsian berkenaan bukan sahaja kedai pajak gadai di sekitar Kuala Lumpur dikerumuni orang ramai malah beberapa negeri lain seperti Perlis, Terengganu dan Ipoh juga mengalami situasi sama.

Beberapa pengguna media sosial turut menzahirkan rasa sedih dengan situasi itu.

Menerusi perkongsian Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan di facebook, dia berasa sedih melihat orang ramai beratur di kedai pajak gadai.

“Sayu hati melihat ramai yang ke kedai pajak untuk mencari wang bagi melangsungkan kehidupan. Saya berharap rakan alam maya saya semuanya baik-baik belaka. Kadang kita tak sedar nikmat keselesaannyang kita ada kerana ia adalah warisan keluarga. Tapi tidak orang diluar sana yang susahnya berganda-ganda.

“Semoga kalian dalam keadaan sejahtera tanpa mengira agama”, katanya.

Selain itu, ramai pengguna media sosial turut memberi kata semangat kepada semua yang berdepan dengan situasi berkenaan.

Dalam pada itu kami ingin menasihati orang ramai untuk tetap mengikut garis panduan dan menjaga jarak sosial ketika di luar. -KL Broadcast